Monday, April 27, 2009

Kelegaan

Salam untuk semua. Lama dah tak berpeluang untuk masukkan posting-posting baru. Hari ini pun baru sedikit lega. Itupun kena standby utk ke KT Court besok.

Inilah alasan-alasan (yang patut atau tidak patut dijadikan alasan pun saya tak tahu) yang menghalang posting baru masuk. Diambil dari personal diary:-


March

22: KT Court 23- Siapkan list volunteer to HC.

24 – Bar-Bench Meeting, separuh hari tak masuk office.

25 – Kelantan Bar Committee Meeting. 26 – Rest 27 - Packing barang 28 - Pindah rumah

29 - Tak masuk office lagi, ke A/port sambut CJM

30 & 31 - Baru boleh rest sekejap.


April

1 - Tak masuk office lagi, meeting dgn CJM

2 - Ke A/port hantar CJM, lari lagi jadual kerja.

3 - Rest 4 - Ada org jemput makan hari cuti ni, terpaksa pergi.

5, 6 & 7 - Buat legal opinion.

8 - Balik court dan buat written submission.

9 - Buat legal opinion slps balik ct. 10 - Cuci rumah lama

11 - Masuk office w/pun cuti, kena siapkan submission.

12, 13, 14 & 15 -

Siapkan submission lain pulak. Tension sungguh. Sebab tu saya prefer oral submission, kerjanya lebih mudah.

18 - Bertolak ke Kemaman sehari awal sebab ada ct case kat sana besoknya.

19 - Selepas selesai case kat Kemaman Ct, bertolak ke KT pulak sebab esok tu ada case kt sana.

20 - Selepas selesai kes kt KT, bertolak balik ke KB.

21 -

Seperti biasa, memang ada kes setiap hari kat KB nih. Petang kena gi ct utk decision. Tetiba J tangguh ke tarikh lain pulak. Jawabnya sehari tak masuk office.


22 -
Ke Gua Musang Ct, yang lebih jauh dari KT. Bertolak awal pagi. Dah confirm tak kan masuk office.


23 -
HARI NI TAKDE CT CASE. BAHAGIA SANGAT!!! Sign surat dan buat mana yang perlu selama masa tak masuk office atau seolah-olah tak masuk office sejak hampir sebulan lepas.


24 - PEGI PICNIC KAT PANTAI MELAWI DGN DAYANG & ANAK. HUH LEGA ...

25 - Masuk office walaupun hari Sabtu. Siapkan kerja.

26 -
Panggil staff and bincang/buat revision untuk file bulan May. Dapat siapkan revision dalam masa sehari. Alhamdulillah.

27 -
Hari ni lega banyak. Ada masa nak buat posting. Besok (Selasa) standby ke KT. Lusa pun KT. Ahad depan ke Kemaman, the next day KT. Huh huh huh.


Alhamdulillah dapat jugak buat posting, walaupun sekadar salin balik dari diary....

Tuesday, March 10, 2009

Mendapat Rawatan

Baru-baru ini saya berasa sedikit kurang sihat. Rasa tak sedap badan, lalu ambil ubat dan telan. Alhamdulillah badan terasa segar semula. Ini sebenarnya satu tindakan biasa setiap manusia. Asal merasa tidak sedap badan kita akan terus mendapatkan rawatan, samada dengan ubat (panadol - ubat yang paling 'glamer') atau berjumpa doktor.

Ternyata manusia tidak dapat menanggung rasa sakit pada tubuh fizikal. Paling tidak kita akan merasa tidak enak atau selesa. Belum dikira lagi dengan penjagaan kesihatan tubuh badan, diet dan sebagainya.

Tetapi berapa ramai yang menjaga 'tubuh' rohani masing-masing? Sangat sedikit yang menjaganya. Apakah kita merawatnya kalau ia sakit? Apakah kita menjaganya atau sekurang-kurangnya memberi perhatian kepadanya sepanjang kita hidup ini?

Sebenarnya roh kita juga sebahagian daripada kehidupan kita. Kalau ia sakit, ia perlukan rawatan. Kalau jasmani kita perlukan makanan, rohani juga perlukannya. Jika kita boleh berjumpa doktor kalau badan kita berasa kurang sihat, maka selalu-selalulah bawa roh kita berjumpa dengan Rob-nya, yang menciptakannya, yang menciptakan segala sesuatu. Salam.

Thursday, March 5, 2009

Rohani

Pandangan mata ... selalu menipu;
Pandangan akal ... selalu tersalah;
Pandangan nafsu ... selalu melulu;
Pandangan hati ... itu yang hakiki
... bila hati itu bersih.
(nasyid Al-Arqam dulu. Tak tahu siapa penulis lirik yang baik itu)


Jasad fizikal asalnya dari tanah. Sebab itu makanan bagi jasad fizikal juga kesemuanya berasal dari tanah. 'Jasad' rohani asalnya dari langit. Sebab itu makanan bagi 'jasad' rohani kita mesti juga dari langit. Apa makanannya? Solat, membaca Al-Quran , puasa, dzikr dll.

Kalau jasad fizikal tidak diberi makanan, ia akan jadi lemah. Begitu juga dengan rohani. Jika tidak diberi 'makanannya' roh kita akan jadi lemah. Tidak ada seri, jiwa tak kuat. Islam kuat dengan kekuatan fizikal. Tetapi Islam juga kuat dengan kuatnya roh para pejuangnya. Ini yang kebanyakan orang lupa. Terutama golongan liberal.

Ayuh, kita bersama-sama memberi santapan kepada rohani kita ... juga jasmani kita ...

Thursday, February 26, 2009

Besar sangatkah Kita (II)

Segala puji hanya untuk Allah. Mohon selawat salam semoga sentiasa dilimpahi atas Baginda SAAW, Ahli Baitsnya dan Sahabatnya ...

Ya ... besar sangatkah kita ini? Cuba kita renung dan fikir dalam-dalam, tentang hakikat betapa 'besarnya' diri kita sebagai manusia ini. Berapa besarkah kita berbanding dengan keluasan bumi yang Allah cipta? Bandingkan pula berapa besarnya bumi dengan matahari. Lihat pula perbezaan matahari dengan bintang Acturus. Perhatikan di mana pula Acturus berbanding bintang Antares. Lalu siapa kita?

Kalau diumpamakan Acturus itu seluas tanah Australia, kita hanya ibarat sebutir pasir yang dibelah beribu-ribu kali. Jadi mampukah kita sebutir pasir ini menyaingi sebuah benua? Cuba letakkan diri anda di sebelah Antares.

Hendak menyaingi sebutir bintang, satu makhluk yang dicipta pun sudah tidak termampu oleh kita. Jadi bolehkah kita menyaingi Penciptanya? Bolehkah kita?

Perhatikan keluasan alam ini, susun atur segala objeknya, perjalanan dan peredaran segala juzuk benda dan atomnya dan kita akan dapat lihat kehebatan Penciptanya. Namun ada diantara manusia berkata kita mampu membuat peraturan hidup dan undang-undang sendiri. Kita adalah manusia dan sesungguhnya kita memahami cara penyelesaian masalah jenayah dan sosial manusia. Hukum buatan manusia juga lebih kurang sama dengan hukum Allah.

Apakah Pencipta Yang Maha hebat ini tidak mampu menurunkan satu sistem yang sempurna? Apakah sistem yang Dia sediakan itu ada kekurangannya? Kenapa kita tidak bersedia menerima hukumnya? Hebat sangatkah kita untuk tidak mengguna pakai hukum Dia? Hebat sangatkah???Kepada para penolak hukum Allah ... cerminlah diri dahulu. Tahi hidung anda sendiri tidak mampu anda cipta, tetapi ada hati menolak hukum Allah.

Wednesday, February 25, 2009

Besar Sangatkah Kita?




Ini adalah hakikat diri kita ... yang menumpang di muka bumi dan kerajaan luas Allah ini .... Besar sangatkah kita ...?

Thursday, February 19, 2009

Menjadi Peguam III

Saya terpaksa memakai semula seragam putih dan hijau sekolah, masuk kelas pukul 8 pagi dan habis kelas pukul 1 tghari. Kalau dahulu saya kenal quantum leap, isotopes of carbon, mitocondria dsb, kini saya kenal Awang Sulong Merah Muda, Hikayat Panji Semirang, Keluk Penawaran dan Permintaan dan puisi-puisi yang puitis yang melara-lara hingga ke bulan bintang. Memang amat kekok kerana sistem pembelajaran yang perlu saya aplikasi kini berada dalam dunia yang amat berbeza. Itu kekurangannya. Kelebihannya? Kedua-dua belah otak kiri dan kanan saya dapat merasakan sesuatu yang baru.

Banyak perkara baru yang saya pelajari dalam tempoh dua tahun berikutnya. Ada pengalaman terpaksa menumpang bangunan Puspanita di Jalan Muzium Hulu, Taiping kerana ada sedikit pergeseran diantara tuan punya sekolah swasta dengan tenaga pengajar. Untuk subjek sastera, Pengajian Am dan BM saya ke kelas Cikgu Shaari yang berpisah dengan sekolah swasta tersebut dan menumpang di bangunan Puspanita. Untuk subjek Sejarah dan Ekonomi saya mengikuti kelas di sekolah swasta tersebut, yang kini diubah ke waktu malam. Sudah jadi sedikit kelam-kabut.

Saya juga mula menyusun cita-cita baru. Cita-cita ketiga yang saya simpan selama ini ... untuk menjadi peguam. Allah lebih mengetahui akan kejadian setiap hambaNya. Dia Maha Mengetahui bahawa saya lebih sesuai untuk menjadi seorang peguam. Saya yang dahulunya hanya berminat & aktif menjadi pemidato dan pendebat di sekolah & USM tetapi tidak berapa minat menjadi peguam (hanya ke-3 dalam senarai cita-cita) akhirnya di buka jalan oleh Allah untuk menjadi peguam.

Selesai keputusan STPM, saya menyambung pengajian ijazah saya di UiTM dan selepas itu dengan 9 bulan chambering dan akhirnya di'daftarai'kan menjadi peguam .... Alhamdulillah.

Dan cita-cita saya tidak terhenti setakat itu. Masih ada dua lagi yang ingin saya capai. Buat masa ini saya cuba menyumbang anugerah yang Allah beri ini (ia bukan hak saya tetapi satu amanah dari Allah) kepada agama saya ... Islam.

Menjadi Peguam II

Dan saya berhijrah dari pusat menuntut ilmu yang rasmi ke pusat tarbiyyah dari Allah. Kegagalan itu satu tamparan hebat untuk saya. Apatah lagi bila mendapat tahu tentang rakan-rakan rapat saya yang berjaya manyambung pengajian dalam ijazah perubatan di luar negara. Sahabat saya, Abdullah Zaidi mendapat tawaran ke Royal College of Surgeons di Dublin. Dah jadi doktor dah pun sekarang ni, menetap di sana. Tuan Hairul (rakan rapat, juga satu team debat di USM dengan saya) dapat tawaran bidang perubatan di UK dan Emirizal pula ke Australia. Masing-masing dah jadi doktor.

Sedangkan saya terpaksa mendaki satu anak tangga ke satu anak tangga untuk mencari tempat belajar yang baru. Bukan menara gading dan bukan IPT. Hanya mencari sekolah swasta untuk mengambil STPM. Menjadi pelajar di sekolah swasta tetapi mengambil STPM sebagai calon persendirian. Hanya ada dua buah sekolah swasta di Taiping pada masa itu yang mengajar kertas peperiksaan STPM, tetapi kedua-duanya tidak mengajar jurusan sains. Sedangkan saya masih mahu mengambil bidang sains dan masih bercita-cita untuk menjadi doktor. Alasan utama tiada jurusan sains adalah kerana sekolah-sekolah tersebut tidak mempunyai makmal sains sedangkan peperiksaan STPM aliran sains wajib ada kertas amali untuk subjek Fizik, Kimia dan Biologi. Kecewa lagi ...