Friday, June 10, 2011

Cabaran getir menanti pasukan Nik Aziz-Abdul Hadi

- Mohd Rashidi Hassan, HarakahDaily.

TIDAK sampai dua minggu lagi kita akan menyambut ulang tahun ke sembilan pemergian Almarhum Dato' Fadzil Mohd Noor, mantan Presiden PAS yang kembali kerahmatullah pada 23 Jun 2002.

Pemergian Almarhum, yang jasadnya dikebumikan di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah, harus diperingati, bukan untuk meratapinya dengan kesedihan semata-mata. Yang paling penting nilai perjuangan yang beliau sumbangkan terlalu besar ertinya kepada PAS.

Selepas Ustaz Fadzil Noor mengambil alih jawatan Presiden (ketika itu Yang Dipertua PAS Pusat) daripada Almarhum Ustaz Yusof Rawa pada tahun 1989, kepimpinan dan ahli PAS yang menjalani tarbiyah serta pemulihan (di zaman Ustaz Yusof 1983-1989), semakin diperkukuhkan.

Untuk rekod Ustaz Yusof meninggal dunia pada 28 April 2000 setelah uzur selama beberapa tahun. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di kediamannya di Gelugor, Pulau Pinang, pada kira-kira pukul 7.00 pagi, pada usia 78 tahun.

Ketika itu Almarhum Ustaz Yusof dilantik menjadi Mursyidul 'Am, Ustaz Fadzil selaku Yang Dipertua, Tuan Guru Abdul Hadi Awang (Dato' Seri) menjadi Timbalan Yang Dipertua, manakala Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Dato') sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Pusat.

Akibat keuzuran sekian lama Ustaz Yusof melepaskan jawatan Mursyidul Am dan Ustaz Nik Aziz dilantik mengisi kekosongan tersebut.

Gandingan Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi dan Ustaz Nik Aziz menerajui PAS. Lebih satu dekad mereka bertiga menjadi pemimpin utama PAS. Wibawa mereka, kehebatan mereka bertiga diakui dan diiktiraf oleh kawan dan lawan.

Ketokohan ketiga-tiga Tuan Guru ini dalam PAS begitu terserlah sehingga karisme dan bakat kepimpinan yang mereka warisi, dilihat jauh meninggalkan pemimpin-pemimpin bawahan.

Dalam PAS ketika itu masih ramai pemimpin-pemimpin yang hebat serta berpengalaman, namun ketokohan mereka tidak mampu menyamai Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi dan Ustaz Nik Aziz.

Jurang kepimpinan

Tanpa disedari, tanpa PAS kehendaki dan harus diakui wujud jurang yang lebar antara ketiga-tiga pemimpin ini dengan pemimpin bawahan.

Bukannya PAS tidak mempunyai pemimpin pelapis, tetapi masih belum kelihatan pemimpin yang dapat mewarisi bakal kepimpinan ketiga-tiga mereka.

Maka selepas pemergian Ustaz Fadzil, PAS berada dalam keadaan yang tersentak seketika. Ustaz Fadzil adalah pemimpin agung yang kehilangannya sukar untuk digalang-ganti. Secara jujurnya diakui ketika itu (2002), PAS tidak sanggup kehilangan Ustaz Fadzil. Namun kehendak Allah Yang Maha Kuasa mengatasi segala kehendak hamba-hamba-Nya.

Maka selepas Ustaz Fadzil, Ustaz Hadi menerajui PAS. Ustaz Nik Aziz sebagai Mursyidul Am.

Akibat daripada kelompongan yang besar ini wujud satu jurang yang sehingga kini masih gagal diisi oleh pemimpin yang lain.

Jurang ini sebenarnya bukan persepsi. Jurang ini juga bukan menafikan ketokohan pemimpin PAS yang lain. Tetapi ianya adalah pengiktirafan ahli, penyokong dan rakyat terhadap status seseorang pemimpin.

Sehingga hari ini dalam PAS pun diperakui, masih belum lagi dilihat ketokohan pemimpin yang boleh menyamai gandingan Ustaz Fadzil-Ustaz Hadi-Ustaz Nik Aziz.

Oleh sebab itu selepas Ustaz Hadi menjadi Presiden PAS. Jawatan Timbalan Presiden sudah diisi dua orang, iaitu Almarhum Ustaz Hassan Shukri dan Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Mohamad Sabu adalah Timbalan Presiden yang ketiga di bawah Ustaz Hadi.

Soal mengapa jawatan Timbalan Presiden bertukar tangan, berlaku pertandingan dalam setiap kali muktamar sejak tahun 2005, 2007, 2009 dan 2011, ianya adalah terletak kepada kebijaksanaan perwakilan PAS.

Namun, harus diingat, untuk rekod, sepanjang lebih satu dekat semasa Ustaz Fadzil dan Ustaz Hadi menjadi Presiden dan Timbalan Presiden, kedua-dua jawatan ini dimenangi tanpa bertanding.

Dalam ertikata yang lain, tiada sesiapa pun yang mahu mencabar mereka berdua. Ketokohan mereka berdua, sama dengan ustaz Nik Aziz, sehingga kini tiada yang mampu menyamainya, masih belum ada pemimpin PAS yang lain memperolehi pengiktirafan sebegini rupa.

Inilah sebenarnya cabaran bagi PAS. Iaitu PAS mahu melahirkan lebih ramai pemimpin berwibawa, berkarisme dan hebat seperti ketiga-tiga mereka.

Cabaran buat kepimpinan

Pasca Muktamar Tahunan PAS ke-57 minggu lepas, PAS memasuki fasa baru. Iaitu pewakilan Muktamar buat pertama kali selepas 28 tahun, menobatkan seorang pemimpin yang bukan ulama menjadi Timbalan Presiden.

Dalam penulisan ini, saya tidak berminat untuk terjebak kepada persoalan ulama atau non-ulama. Soal kumpulan pro-ulama atau pro-Erdogan seperti yang dilabel media talibarut Umno-BN, semuanya sudah ditolak oleh perwakilan.

Presiden PAS dalam ucapan penggulungannya menegaskan tiada kumpulan profesional atau ulama, tiada kumpulan yang dilabel Erdogan. Yang wujud katanya adalah kumpulan Nik Aziz dan Abdul Hadi.

Sama ada Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Dato' Husam Musa mahupun Dato' Mahfuz Omar, kesemua mereka adalah kumpulan Nik Aziz-Abdul Hadi.

Cabaran besar yang dihadapi oleh kumpulan ini adalah bukan sekadar memenangi pemilihan dalam Muktamar PAS. Tetapi, cabaran yang besar adalah, bagaimana mereka ini mengisi kemenangan.

Bagaimana kumpulan ini mampu merapatkan jurang persepsi serta pengiktifaran besar ahli dan rakyat kepada Ustaz Hadi dan Ustaz Nik Aziz.

Oleh kerana kumpulan yang menang ini juga dianggap kebanyakan rakyat sebagai kumpulan reformis, maka umum hendak melihat sejauhmana perubahan berlaku dalam PAS, bagi memungkinkan ia menerajui Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Bagaimanapun untuk adil kepada yang menang, kita harus memberi ruang yang secukupnya kepada mereka untuk membuat perubahan. Perubahan memang memerlukan masa, namun jangan sampai kedudukan yang tinggi ini menjadikan mereka alpa.

Harus juga diingatkan kepada mereka yang menang bahawa, expectation atau pengharapan rakyat terhadap mereka terlalu tinggi.

Oleh kerana empat tokoh yang menang dalam jawatan tertinggi ini, bukan bertitle ulama, maka tempoh dua tahun ke hadapan ini amat mencabar bagi mereka.

Jika mereka perform, mereka akan dipilih pada muktamar yang akan datang. Jika mereka tidak perform, perwakilan yang akan mengundurkan mereka.

Selamat bertugas kumpulan Nik Aziz-Abdul Hadi!

http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/mohd-rashidi-hasana/3736-cabaran-getir-menanti-pasukan-nik-aziz-abdul-hadi

Tuesday, April 12, 2011

Down The Memory Lane - 4

Salam. Hajat di hati ingin kembali menulis secara aktif di blog ini, tapi 'mood' masih belum ada. Tak tahu mana nak mula dan tak tahu mana nak sambung. Jadi saya mengambil keputusan untuk sekadar melayari internet. Dalam 'sibuk' ber'surfing' terjumpalah satu website - Asiaexplorers.com - yang menceritakan tentang Masjid Kampung Laut.

Seperti yang saya nyatakan dalam posting sebelum ini, ia mencatatkan bahawa rekabentuk Masjid Kampung Laut adalah sama seperti Masjid Agung Demak.Bezanya, ia menyatakan bahawa Masjid Agung Demak lebih dulu didirikan. Wallahua'lam.

Apa yang menarik perhatian saya, cerita yang disampaikan itu sama seperti apa yang pernah diceritakan oleh Tok dan arwah Tok Umi - ia dibina oleh sekumpulan mubaligh yang berkelana diantara Champa, Patani dan Jawa. Jadi tidak hairanlah jika rekabentuk kedua-dua masjid ini serupa kerana memang besar kemungkinannya ia dibina oleh kumpulan yang sama, yang berkelana di kepulauan nusantara di dalam kerja-kerja dakwah mereka.

Tambahan pula ia turut mencatatkan bahawa kumpulan mubaligh ini telah bernazar untuk membina masjid jika mereka terselamat dari ribut taufan yang dialami dalam pelayaran mereka itu.

Berikut perikan dari website tersebut:-

"Masjid Kampung Laut is regarded as the oldest surviving mosque in Malaysia as well as one of the oldest in the Malay archipelago. Although the actual age of Masjid Kampung Laut is not known, its design is similar to that of Masjid Demak in Jawa which was built in 1401. Most accounts place the age of Masjid Kampung Laut as around 300 years.

Masjid Kampung Laut is believed to have been built by Muslim missionaries who were travelling between Champa (in southern Vietnam), Pattani (Thailand) and Jawa. According to a story, the ship which was carrying the missionaries got into trouble. The missionaries vowed that if they could land safely, they would build a mosque where they land. As it happened, they were able to land at Kampung Laut, and hence, erected a mosque there".


Wallahua'lam.

Thursday, March 31, 2011

AlhamduliLlah

AlhamduliLlah.

1. Adik saya sudah beransur sembuh.
2. Firm sudah selesai bergabung dengan sebuah firm di Penang.
3. Banyak benda lain dah selesai - semakin tenang.

Jadi, harapnya punya masa untuk menulis.

Thursday, December 23, 2010

Down The Memory Lane - 3


Ini gambar Masjid Kampung Laut.



Yang ini pula Masjid Demak. Rekabentuk kedua-duanya hampir sama.

Friday, December 3, 2010

Down The Memory Lane - 2

Ibu saya pula berasal dari Kelantan. Lebih tepatnya dari Pasir Puteh. Tapi kampung asal tempat mula bertapak moyang saya ialah di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.

Menurut Tok (nenek sebelah ibu) dan arwah Tok Umi (nenek saudara), semasa kumpulan moyang saya sedang berlayar tiba-tiba kapal yang mereka naiki dipukul ribut yang sangat kuat dan mereka hampir tenggelam. Dengan kuasa Allah, sekonyong-konyong muncul ikan kacang-kacang (barracuda) menolong dan mereka akhirnya terdampar di Kampung Laut, Tumpat. Selepas itulah moyang saya dikatakan berjanji dengan kumpulan ikan kacang-kacang tersebut bahawa mereka dan anak cucu mereka tidak akan memakan ikan kacang-kacang sebagai membalas jasa dan tanda terima kasih. Mengikut cerita Tok Umi lagi, mereka adalah kumpulan ulama dan pendakwah. Itu yang diceritakan semasa saya kecil. Wallahua'lam.

Bagi yang meminati sejarah, kisah ini ada dicatat oleh seorang penulis yang membuat kajian tentang penyebaran Islam di Nusantara. Tajuk bukunya kalau tak silap saya ialah 'Wali Songo' oleh Abdul Halim Bin (maaf tak ingat). Di dalamnya ada dicatat bahawa kumpulan pendakwah ini memohon bantuan kepada Allah dan bernazar bahawa sekiranya mereka terselamat maka mereka akan mendirikan masjid di tempat mereka mendarat. Seperti yang diceritakan di atas, sekonyong-konyong datang sekumpulan ikan kacang-kacang menolak kapal yang mereka naiki ke arah daratan dan sebahagian lagi menutup lubang kapal yang bocor dari terus dimasuki air.

Menurut sejarah, tempat mendarat mereka ialah di Kampung Laut, Tumpat. Di sana, sebagai menunaikan nazar, mereka mendirikan masjid yang kini dikenali sebagai Masjid Kampung Laut. Rekabentuk masjid ini amat bersamaan dengan Masjid Demak di Indonesia yang terkenal itu. Dikatakan, Masjid Kampung Laut lebih awal didirikan daripada Masjid Demak dan rekabentuk Masjid Demak menyerupai rekabentuk Masjid Kampung Laut kerana kedua-duanya dibina oleh kumpulan yang sama.

Salah seorang dari mereka berfirasat tentang kaitan diantara hakisan pantai, akhir zaman dan masjid tersebut. Kini Masjid Kampung Laut telah dialihkan ke Nilam Puri kerana hakisan pantai yang berlaku di kawasan asalnya. Apakah ini sudah akhir zaman seperti yang difirasatkan?

Berdasarkan hadist-hadist Nabi SAAW, ini memang masa akhirnya zaman. Wallahua'lam.

Thursday, December 2, 2010

Sesaja

Salam. Sesaja nak menekan kekunci komputer. Dah lama tak update blog sendiri. Mudah-mudahan diberi masa untuk menulis.

Tuesday, September 21, 2010

Down The Memory Lane

Tahun ni saya beraya di Kelantan, sama macam tahun-tahun yang lepas. Kalau tak silap dah lama saya tak beraya di Alor Star, lebih-lebih lagi sejak ibu & ayah saya settle down di sini, di kampung ibu di Pasir Puteh.

Kedah Darul Aman adalah tempat saya dilahirkan, tempat tumpah darah saya - pada tahun 1975, 35 tahun dahulu - di Kampung Seberang Perak, Alor Star. Kampung Tun Mahathir, kampung Tun Daim Zainuddin, Zubir Ali dan kalau tak silap, Tan Sri Awang Had Salleh.

Kalau mengikut salasilah Tok Haji Hasan, datuk sebelah ayah, bapa atau datuknya berasal dari India sebelum berhijrah ke sini. Ada sebatang jalan di Penang, 'Jalan Abu Siti' yang punyai nama yang sama dengan datuk kepada Tok Haji Hasan. Tapi saya tak pasti samada ia merujuk kepada orang yang sama ataupun tidak.

Jika mengikut nenek sebelah ayah pula, dia berasal dari Punjab, India Utara. Bahasa pertuturan keluarga nenek adalah Hindi/Punjabi. Saya sendiri memanggil nenek dengan panggilan 'Dadi'. Dadi adalah panggilan 'nenek' bagi cucu yang dilahirkan dari anak lelaki. Kalau cucu dari anak perempuan pula, ia akan dipanggil 'Nani'. Secara mudahnya, cucu-cucu dari anak lelakinya akan memanggilnya dengan gelaran Dadi. Manakala cucu-cucu beliau dari anaknya yang perempuan akan memanggilnya Nani. Sekarang anak saya pula memanggil neneknya (ibu saya) dengan panggilan Dadi.


Begitu juga dengan panggilan-panggilan dalam keluarga. Ada bapa saudara saya yang dipanggil Cicha/Chaca (Uncle/Pak Menakan) seperti juga gelaran-gelaran lain seperti Mami, Khala, Bhai, Bu, etc. Tapi, gelaran-gelaran tu dah kurang digunakan dalam keluarga kami.

Ada satu cerita menarik berkaitan keluarga yang pernah Dadi ceritakan kepada saya sewaktu kecil dahulu. Katanya moyangnya (great great grandfather, tahun bila tak pasti) merupakan kerabat satu kerajaan di India Utara satu ketika dahulu. Sepatutnya moyang saya tersebut yang menaiki tahta kerajaan tetapi berlaku satu perebutan dengan adiknya. Untuk mengelakkan pertelingkahan dan putusnya persaudaraan, maka beliau mengundurkan diri dari menduduki tahta dan menyerahkannya kepada adiknya. Dan apa yang saya faham, beliau kemudiannya berhijrah ke Tanah Melayu. Wallahua'lam.

Sekadar bercerita, untuk tujuan rekod generasi yang akan datang...