Sunday, November 8, 2009

Ketaatan Kepada Pemimpin - Sejauh Mana?

Ayat "Taatilah Allah, taatilah Rasul, dan ulil amri di kalangan kamu" merupakan dalil yang sentiasa disandarkan apabila hujah berkaitan kepimpinan diutarakan. Persoalan taat kepada Allah dan Rasul tidak menjadi perselisihan di dalam setiap perbahasan dan syarah berkaitan kepimpinan kerana semua pihak bersepakat bahawa ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah ketaatan yang mutlak.

Yang menjadi isu yang sering didebatkan ialah ketaatan kepada pemerintah/ulil amri. Sejauhmana perlunya ketaatan kita kepada pemerintah? Ada yang berpendapat bahawa pemerintah wajib ditaati, tidak kira apa situasi sekalipun. Jangan melawan pemerintah dan jangan menjatuhkan pemerintah. Baca: taat secara mutlak.Ada juga yang menyatakan bahawa kita hanya perlu berdakwah kepada mereka sahaja dan jika mereka tidak mendengar nasihat maka tugas kita terhenti setakat itu sahaja. Dalil yang sering digunakan adalah ayat di atas dan juga sebuah hadist Nabi yang maksudnya menyatakan jangan melawan pemerintah selagi mereka adalah Muslim.

Tuan-tuan, saya tidak berhasrat untuk mengulas kedua-dua dalil tersebut kerana akan mengambil masa yang panjang untuk melakukannya. Saya suka sekiranya persoalan ini direnung dan difikirkan dengan fikiran kritis/critical mind dan bukannya sikap pak turut - setia tidak bertempat dan bertaklid buta.

Soalan saya, apakah Imam Husain Bin Ali Bin Abi Thalib, cucunda kesayangan RasuluLlah SAAW tidak mengetahui ayat AlQ dan Hadist di atas? Siapakah diri kita ini dan siapa pula beliau? Jika pemerintah wajib ditaati secara mutlak dan tugas kita hanya setakat menegur perbuatan-perbuatan mungkar mereka, lalu mengapa cucunda Nabi, Pemimpin Pemuda Syurga (bukan ketua pemuda UMNO dan bukan ketua pemuda PAS) ini bangun menentang Yazid Bin Muawiyyah? Mengapa? Bukan sahaja beliau tetapi HAMPIR KESELURUHAN KELUARGA beliau turut syahid menentang kerajaan zalim tersebut. Apakah mereka tidak berjumpa dengan dalil yang datang dari mulut Nenda mereka sendiri? Apakah lebih bijaknya kita dan lebih fahamnya kita di dalam persoalan ini berbanding Sayyidina Husain dan syuhada' Karbala tersebut? Sudah tentu kearifan faham mereka jauh meninggalkan kita.

Saya juga ingin menyentuh bahawa selepas zamannya Imam Husain, cucunda kepada Imam Husain juga, ulama besar dan Pahlawan terbilang Zaid Bin Ali Zainal Abidin Bin Husain Bin Ali Bin Abi Thalib juga turut terkorban syahid kerana beliau bangun menentang kerajaan Bani Umayyah. Kenapa? Apakah beliau juga tidak berjumpa dengan dalil yang datang dari mulut Nenda mereka sendiri? Apakah lebih pakarnya kita di dalam persoalan ini dan lebih arifnya diri kita di dalam hal ini berbanding mereka? Tuan-tuan yang saya hormati, tubuh beliau setelah terkorban syahid, dilucutkan pakaiannya dan digantung di tempat awam untuk menjadi tontonan.

Bagaimana pula dengan Abdullah Bin Az-Zubair Bin Awwam, anakanda kepada seorang sahabat Nabi yang bangun menentang pemerintahan Yazid sehingga dia sendiri syahid di dalam Kota Makkah akibat serbuan tentera zalim Yazid bin Muawiyyah?
Apakah mereka semuanya menasihat diri pemerintah dengan lidah mereka semata-mata atau mereka bangun dengan diri, tenaga dan nyawa mereka untuk menentang kezaliman pemerintah?

Jika benar bahawa tugas kita cukup sekadar menasihati pemerintah semata-mata lalu mengapa pula Sayyidina Umar sendiri di dalam UCAPAN SULUNG beliau sebagai khalifah menyatakan jika beliau benar maka taatilah dirinya namun jika beliau salah maka betulkanlah beliau dengan PEDANG beliau sendiri sebelum dijawab oleh seorang pemuda yang bangun dan menyanggupi kata-kata tersebut. Wallahua'lam. Salam.

Monday, November 2, 2009

Hujan & Musim Tengkujuh

Sekarang dah mula masuk musim tengkujuh di Kelantan. Di KB hampir setiap hari hujan turun, tapi sekejap-sekejap sahaja. Kalau dah betul-betul masuk musim tengkujuh di sini, hujan boleh turun mencurah-curah 24 jam tanpa henti. Kopi panas, goreng pisang panas, keropok & ubi keling rebus memang jadi sajian utama dalam musim hujan ni. Kalau tinggal kat rumah kampung bunyi hujan yang menimpa atap zink cukup menyeronokkan saya.

Nostalgia zaman kanak-kanak bila balik ke kampung di Seberang Perak, Alor Setar atau di Bukit Tanah, Pasir Puteh masih segar dalam ingatan saya. Celik sahaja mata akan terdengar kuat bunyi hujan menimpa atap zink. Lebat dan menderu-deru. Atas lantai papan pulak disediakan besen untuk menadah air hujan yang tiris dari bahagian atap rumah yang bukan zink tapi rumbia.

Masa ni tempat favourite saya ialah di muka tingkap bahagian anjung rumah. Saya akan berdiri di situ sambil memegang besi palang tingkap rumah Melayu Lama berjam-jam memerhati air hujan yang menimpa bumi dan membentuk lopak air. Titis hujan yang membentuk riak di muka lopak mendatangkan satu rasa bahagia yang amat sangat di hati saya. Bila hujan berhenti, bunyi zink yang bingit sampai kita terpaksa menjerit untuk bercakap tadi akan diganti pula dengan bunyi katak bernyanyi. Memang ia satu irama yang cukup indah. Dahan-dahan pokok yang bergerak-gerak ditimpa hujan tadi sudah berhenti berayun diganti dengan titisan air hujan yang mengalir turun dari hujung daun. Nampak segar dan rasa segar. Bau bumi selepas hujan memang sangat harum dan memberi damai pada jiwa.

Saya memang sukakan hujan. Hujan menyejukkan bumi, mencuci kotoran dan membawa haruman segar untuk semua makhluk Tuhan. Saya masih diliputi dunia hujan bila Abah bertukar ke Taiping sewaktu saya berumur 5 tahun. Di Taiping tidak ada musim tengkujuh dan jarang-jarang hujan turun 24 jam tanpa henti, tapi hujan turun hampir setiap hari tak kira musim. Dunia di Taiping lebih hijau dan lebih tenang dikelilingi bukit-bukit dan Taman Tasik Taiping. Ya nikmat hujan masih boleh terus saya rasai. Syukur padaMU ya Allah.

Jumaat 30/10/2009

Pagi ni cuaca elok, redup dan sejuk. Lepas b'fast terus kami keluar ke nursery untuk cari pasu besar untuk tanam anak pokok anggur yg dibeli di CH hari tu. So, dibelilah satu pasu besar - RM 7-00 harganya + satu anak pokok/bunga Rose RM 10-00 + 3 anak pokok/bunga Lantana RM 10-00 + dua kampit tanah untuk isi pasu besar RM 5-00 + satu anak pokok/bunga tak ingat nama dgn rega RM 8-00. Sampai rumah dah dekat waktu Jumaat, terus bersiap dan bersolat Jumaat. Lepas Asar baru turun berkebun. Anak bunga Rose dan bunga tak tahu nama tu saya tak tanam lagi sebab belum tahu nak letak kat mana. Anak Lantana tu ketiga-tiganya (purple, putih & kuning) saya tanam sederet tepi kanan rumah.

Anak pokok anggur pun saya tak proses lagi, berhenti berkebun sekerat jalan, tolong Abah Kubang Kerian a.k.a ayah mentua (nak bagi beza dgn Abah Bukit Tanah a.k.a ayah sendiri) potong dahan pokok apple yg tinggi menjulang tu. Yup, kat rumah ni ada pokok apple, tapi tak berbuah walaupun dah byk tahun tanam. So, kena tamatkan riwayatnya dengan menebang sedikit demi sedikit. Penat sheikh, batang besar & dahan byk bercabang, so kena buat slow-slow, hari ni sikit, esok pulak sikit lagi. Letih dan bahaya kalau tebang sekaligus.