Sunday, December 27, 2009

Karbala - Imam Husain Bin Ali Bin Abi Thalib

Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam dan selawat serta salam ke atas Baginda Rasulullah - Utusan Terakhir dan Kekasih Allah, juga ke atas Ahl-Baytsnya dan Sahabatnya sekalian.

Hari ini bertanggal 10 Muharam 1431 Hijrah, yang biasa dipanggil dengan Hari 'Asyura. Umat Islam secara tradisinya setiap tahun pada tanggal 10 Muharam, selain daripada berpuasa sunat 10 Muharam akan membuat Bubur Asyura dan menjamu rakan taulan dengan bubur tersebut. Yang sering disebut-sebut orang dan diulang-ulang pada setiap ceramah berkenaan hari tersebut ialah ia merupakan hari di mana Nabi Musa a.s bersama ummatnya dibebaskan daripada kekuasaan Firaun. Pada hari ini juga Nabi Nuh dan ummatnya yang menaiki bahtera telah mendarat dengan selamat. Dikatakan juga mereka mengambil apa sahaja bijirin yang ada di atas kapal lalu memasaknya untuk dijadikan sajian pada hari tersebut selepas mendarat - lalu bermulalah tradisi orang Melayu untuk memasak Bubur Asyura sempena peristiwa tersebut. Pendekata 10 Muharam disambut dengan kegembiraan. Ada semacam keraian kecil kalau bukan dikatakan pesta untuk menyambut 10 Muharam.

Baik, kita tinggalkan dahulu kisah sambutan 10 Muharam ini dan kembali merenung letak duduk kita sebagai ummat Rasulullah SAAW. Kita diajar bahawa cinta kepada Allah tidak akan diterima tanpa cinta kepada Rasulullah. Kita juga diajar bahawa cinta pada Rasulullah tidak akan sempurna tanpa cinta kepada Ahl-Bayts dan 'Itrahnya (keturunan Rasulullah). Keceriaan mereka adalah keceriaan setiap muslim. Kesedihan mereka adalah juga malapetaka bagi setiap muslim. Malah solat tanpa selawat kepada mereka adalah tidak sah! Bukankah begitu?

Siapakah Ahl-Bayts itu? Ada berbagai tafsiran tentang siapakah yang dimaksudkan sebagai Ahl-Bayt. Ada yang menyatakan bahawa Imam Ali, Sayyidatina Fatimah, Imam Hasan, Imam Husain dan keturunan mereka sahaja yang dimaksudkan sebagai Ahl-Bayts (AB). Ada yang menafsirkan bahawa selain mereka itu, para isteri baginda juga termasuk sebagai Ahl-Bayts. Ada yang turut memasukkan Bani Abdul Muttalib dan ada pula yang memasukkan Bani Hasyim ke dalamnya. Jika kita perhatikan dengan pemikiran kritis, walau apapun tafsirannya,kita akan dapati bahawa keempat tokoh tersebut menempati kesemua tafsiran tentang siapakah AB Nabi SAAW.

Secara mudahnya Imam Ali, Sayyidatina Fatimah, Imam Hasan dan Imam Husain adalah tunjang (core) kepada AB. Baik, kembali kepada isu di atas. Cinta kepada Allah tidak akan diterima tanpa cinta kepada Rasulullah. Cinta kepada Baginda tidak sempurna melainkan kita cinta kepada ABnya. Ini wajib!!! Di dalam solat pun wajib kita mendoakan mereka. Siapa yang mewajibkan solat? Bukankah ia datangnya dari Allah? Begitulah tingginya kedudukan mereka. Ingatlah wahai tuan-puan sekalian, keceriaan mereka adalah keceriaan setiap muslim dan kesedihan mereka adalah malapetaka bagi setiap muslim.

Lalu di mana perhatian kita tentang syahidnya Imam Husain pada tanggal 10 Muharam ini? Di mana kita letakkan dirinya pada tarikh ini? Sila naik tangga-tangga masjid dan dengar ceramah, kuliah dan pesanan berkaitan 10 Muharam. Berapa kali namanya disebut dan berapa kali kisahnya diceritakan. Para penceramah ini lebih arif tentang segala dalil yang mewajibkan cinta kepada Rasul dan Keluarganya namun saya percaya jawapannya cukup amat menyedihkan.

Berapa orang diantara kita yang merenung dan mengambil semangat di atas pengorbanan syuhada agung ini? Berapa orang diantara kita yang tahu kisah menyayat hati tentang Karbala? Tentang kira-kira 80 anak cucu Nabi menentang ribuan tentera Yazid? Tentang berhari-hari mereka dihalang dari mendapatkan walau setitik air walaupun ada diantara ahli rombongan ini anak sekecil 6 bulan? Bagaimana perasaan kita jika anak kecil kita dibuat demikian? Bagaimana perasaan kita? Tahukah kita bahawa Rasulullah SAAW sendiri menangisi perisriwa ini apabila dikhabarkan oleh Jibril a.s pada hari kelahiran Imam Husain? Saya percaya ada yang tahu. Namun saya yakin pengetahuan itu digali dengan usaha tuan-tuan sendiri yang mencarinya disebabkan kasih tuan-tuan kepada Ahl-Baytsnya Nabi. Ini fenomena masjid, ustaz, kuliah, ceramah dan sikap masyarakat yang menyedihkan kita.

Maka besarlah harapan saya agar blog kecil ini dapat sedikit sebanyak menyumbang kepada seruan mencintai Ahl Bayts Nabi SAAW - agar menjadi bekal kepada saya di akhir nanti. Agar saya tidak malu untuk memohon syafaat Rasulullah dan Ahl Bayts nanti....

Wallahua'lam. Salam.

No comments:

Post a Comment