Sunday, November 8, 2009

Ketaatan Kepada Pemimpin - Sejauh Mana?

Ayat "Taatilah Allah, taatilah Rasul, dan ulil amri di kalangan kamu" merupakan dalil yang sentiasa disandarkan apabila hujah berkaitan kepimpinan diutarakan. Persoalan taat kepada Allah dan Rasul tidak menjadi perselisihan di dalam setiap perbahasan dan syarah berkaitan kepimpinan kerana semua pihak bersepakat bahawa ketaatan kepada Allah dan Rasul adalah ketaatan yang mutlak.

Yang menjadi isu yang sering didebatkan ialah ketaatan kepada pemerintah/ulil amri. Sejauhmana perlunya ketaatan kita kepada pemerintah? Ada yang berpendapat bahawa pemerintah wajib ditaati, tidak kira apa situasi sekalipun. Jangan melawan pemerintah dan jangan menjatuhkan pemerintah. Baca: taat secara mutlak.Ada juga yang menyatakan bahawa kita hanya perlu berdakwah kepada mereka sahaja dan jika mereka tidak mendengar nasihat maka tugas kita terhenti setakat itu sahaja. Dalil yang sering digunakan adalah ayat di atas dan juga sebuah hadist Nabi yang maksudnya menyatakan jangan melawan pemerintah selagi mereka adalah Muslim.

Tuan-tuan, saya tidak berhasrat untuk mengulas kedua-dua dalil tersebut kerana akan mengambil masa yang panjang untuk melakukannya. Saya suka sekiranya persoalan ini direnung dan difikirkan dengan fikiran kritis/critical mind dan bukannya sikap pak turut - setia tidak bertempat dan bertaklid buta.

Soalan saya, apakah Imam Husain Bin Ali Bin Abi Thalib, cucunda kesayangan RasuluLlah SAAW tidak mengetahui ayat AlQ dan Hadist di atas? Siapakah diri kita ini dan siapa pula beliau? Jika pemerintah wajib ditaati secara mutlak dan tugas kita hanya setakat menegur perbuatan-perbuatan mungkar mereka, lalu mengapa cucunda Nabi, Pemimpin Pemuda Syurga (bukan ketua pemuda UMNO dan bukan ketua pemuda PAS) ini bangun menentang Yazid Bin Muawiyyah? Mengapa? Bukan sahaja beliau tetapi HAMPIR KESELURUHAN KELUARGA beliau turut syahid menentang kerajaan zalim tersebut. Apakah mereka tidak berjumpa dengan dalil yang datang dari mulut Nenda mereka sendiri? Apakah lebih bijaknya kita dan lebih fahamnya kita di dalam persoalan ini berbanding Sayyidina Husain dan syuhada' Karbala tersebut? Sudah tentu kearifan faham mereka jauh meninggalkan kita.

Saya juga ingin menyentuh bahawa selepas zamannya Imam Husain, cucunda kepada Imam Husain juga, ulama besar dan Pahlawan terbilang Zaid Bin Ali Zainal Abidin Bin Husain Bin Ali Bin Abi Thalib juga turut terkorban syahid kerana beliau bangun menentang kerajaan Bani Umayyah. Kenapa? Apakah beliau juga tidak berjumpa dengan dalil yang datang dari mulut Nenda mereka sendiri? Apakah lebih pakarnya kita di dalam persoalan ini dan lebih arifnya diri kita di dalam hal ini berbanding mereka? Tuan-tuan yang saya hormati, tubuh beliau setelah terkorban syahid, dilucutkan pakaiannya dan digantung di tempat awam untuk menjadi tontonan.

Bagaimana pula dengan Abdullah Bin Az-Zubair Bin Awwam, anakanda kepada seorang sahabat Nabi yang bangun menentang pemerintahan Yazid sehingga dia sendiri syahid di dalam Kota Makkah akibat serbuan tentera zalim Yazid bin Muawiyyah?
Apakah mereka semuanya menasihat diri pemerintah dengan lidah mereka semata-mata atau mereka bangun dengan diri, tenaga dan nyawa mereka untuk menentang kezaliman pemerintah?

Jika benar bahawa tugas kita cukup sekadar menasihati pemerintah semata-mata lalu mengapa pula Sayyidina Umar sendiri di dalam UCAPAN SULUNG beliau sebagai khalifah menyatakan jika beliau benar maka taatilah dirinya namun jika beliau salah maka betulkanlah beliau dengan PEDANG beliau sendiri sebelum dijawab oleh seorang pemuda yang bangun dan menyanggupi kata-kata tersebut. Wallahua'lam. Salam.

1 comment:

  1. 1. Husain ra dan para sahabat dibunuh oleh orang Syiah sendiri..

    ReplyDelete